27 February 2015

Zikrullah Membentuk Akhlak, Merubah Kehidupan



Salam hormat kepada pengunjung blog saya ini. Kali ini saya ingin berkongsi ilmu yang sempat saya catat ketika khutbah Jumaat pada hari ini di Masjid Al-Hidayah Telok Panglima Garang.

Tajuk khutbah memang menarik dan amalan yang disunatkan untuk diamalkan oleh setiap umat Islam iaitu " Zikrullah Membentuk Akhlak, Merubah Kehidupan.

Apa maksud Zikrullah ?

Khatib menerangkan tentang maksud zikrullah yang membawa erti ia adalah satu amalan untuk mengingati Allah secara lisan dan perbuatan. Amalan ini juga merupakan salah satu cara untuk melakukan hubungan dengan Allah selain dari solat.

Amalan zikir menjadikan hati kita menjadi tenang dan sentiasa berusaha untuk mencari rezeki melalui bekerja secara halal.

Zikir juga menjadikan diri kita kuat untuk sentiasa merenung setiap kejadian Allah dan sentiasa bersyukur dengan nikmat kurniaan-Nya.

Allah berfirman dalam surah A-li'Imraan ayat ke 191 :


Maksudnya : 

" (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka."


Adab Zikir

Khatib juga menerangkan tentang adab berzikir seperti...

1) Sebutan zikir hendaklah disebut dengan betul

2) Hati perlu ikhlas ketika mengamalkannya kerana zikir boleh mensucikan hati kita

3)  Amalan zikir hendaklah mengikut amalan sunnah Rasulullah Shollallah Hua'laihi Wasallam dan para sahabat.


Amalan Zikir Bantu Membentuk Akhlak

Melalui amalan berzikir, diri kita akan sentiasa ingat segala perintah Allah. Diri kita sentiasa ikhlas menuruti segala perintah-Nya dengan penuh perasaan takut kepada Allah.

Kejayaan para rasul dan golongan yang bertaqwa adalah dari amalan berzikir.


Kesan Amalan Berzikir

Khatib menerangkan pula kesan dari amalan berzikir di mana kita dapat menikmati ketenangan sebagai seorang hamba. Ketenangan yang dinikmati menjadikan kita sentiasa berfikiran positif dan redha apa jualan ujian dan cubaan yang bakal melanda.

Antara kesan-kesan lain adalah kita sedaya upaya akan mengamalkan kehidupan mengikut syariat Islam, berjaya mengawal nafsu serta godaan syaitan.

Kita juga akan sentiasa redha, qanaah dan merasa cukup dengan semua pemberian Allah. 


Cara Berzikir

Sentiasa berzikir setiap masa dan ketika kecuali ketika berada di dalam tandas.


Kesimpulan

Di penghujung khutbah Jumaat mimbar mengingatkan agar kita sentiasa ingat kepada Allah. Jadikanlah amalan zikir merupakan amalan harian setiap masa dan ketika. Carilah ketenangan dan ketaatan kepada Allah melalui amalan zikir kepada Allah.

Khatib membaca firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat ke 152 :


Maksudnya :

" Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)."

Semoga perkongsian post hasil dari catatan khutbah Jumaat yang sempat saya lakukan hari ini memberi manfaat kepada anda. Sekian. Semoga berjumpa lagi pada post yang lain. Insya Allah. 

Postingan Terkait

No comments:

Post a Comment

Sila lontarkan komentar anda. Terima kasih.

Formulir Kontak

Name

Email *

Message *